Tuesday 7 January 2014

" MAAFKAN KAKAK, AYAH ! "

“Kakak, besar nanti nak jadi apa?” Tanya ayah manja.

“Kakak nak jadi doktor, boleh rawat ayah, nanti ayah dah tak sakit lepas ini”. Jawabku penuh semangat.

Ayah memelukku erat, “Nanti kakak besar kakak jadilah ustazah, ajar agama biar semua orang jadi baik, boleh tolong ajar ayah”. Balas ayah mengharap.

“Tapi kakak tak minat ayah. Gaji murah nanti susah nak beli ubat ayah. Biar kakak jadi doktor. Boleh rawat ayah free saja”. Balasku gaya seorang doktor berkaliber.

Ayah tersenyum. “Kakak akan faham nanti”.

Sekali lagi butiran jernih mengalir laju membasahi pipiku. Kini sudah seminggu permergian ayah. Satu persatu memori bersama ayah terbit menyinggah di sanubariku. Terasa cepat masa berlalu. Aku masih belum berkesempatan untuk berbakti kepada ayah. Bagaimana untuk aku teruskan kehidupan ini tanpa ayah di sisi. Ayah yang selalu bersama aku. Bermain bersamaku, tempat untuk aku bermanja segala-galanya pada ayahku. Adakah aku kuat untuk terus hidup? Kenapa Allah ambil nyawa ayahku? Tidak tahukah Dia, aku sayang ayah? Sanggup Allah pisahkan seorang anak dengan ayahnya? Mengapa aku tidak pada orang lain? Marah aku dalam hati.

Hari ini hari pertama aku mendaftar di Maahad Tahfiz Klang. Aku ingin ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) namun sebelum ayah pergi, ayah sudah daftarkan aku di maahad ini. Katanya di sini bagus untuk aku. Hari ini, ibu menemani aku. Ibu pun agak lain penampilannya, sebelum ini tidak pernah aku melihat ibu bertudung. Selalunya ibu hanya mengenakan skarf menutup kepalanya. Aku tidak berminat untuk menanyakan hal tersebut. Semuanya gara-gara bakal ayah tiri aku juga turut menemani aku untuk berdaftar hari ini. Aku tidak suka dia sebab dia bakal mengantikan tempat ayah. Bagi aku dia tidak layak. Aku bermonolog sendiri. Usai bersalaman dengan ibu, aku segera masuk ke dalam dewan, program orientasi tingkatan satu akan bermula.

“Di sini, antum kena hafaz Quran 6 juzuk setahun, sesiapa yang tidak cukup 6 juzuk akan didenda”. Tegas amanah daripada Mudir Maahad kepada semua yang berada di dewan. Aku mendengus. “Mana aku mampu, kenapalah ayah masukkan aku di sini. Aku nak belajar sains”. Aku membentak dalam hati.

Masuk tiga bulan aku di maahad ini, sungguh aku bosan di sini. Hari-hari aku di tasmi’. Hari-hari jugalah pasti muka aku yang akan di denda. Kadang-kadang, aku lebih sanggup untuk di denda daripada di tasmi’ hari-hari. Aku selalu ponteng kelas, kononnya sakit. Aku juga pernah keluar dari asrama tanpa kebenaran warden. Malah, muka aku jugalah yang selalu lewat ke kelas tasmi’ dan ponteng solat berjemaah di musolla. Selain itu, aku selalu tidak solat dan selalu ponteng puasa. Orang lain sudah masuk juzuk empat aku baru masuk juzuk dua. Surat amaran sudah dua kali aku terima, namun semuanya aku tidak maklumkan kepada ibu. Biar kena buang sekolah, nanti aku boleh ke MRSM tidak perlu lagi tinggal di sini. Malas untuk aku ceritakan pada ibu. Ibu tidak memahami aku seperti arwah ayah. Di tambah dengan sikap ibu yang langsung tidak peduli dengan aku. Bukan itu saja, ibu jarang melawat aku di sini. “Asyik sibuk dengan pak cik Aziq saja, aku kat sini pun susah ke nak datang lawat”. Omel aku sendiri dalam hati. Bertambah benci aku dengan bakal ayah tiriku itu dan bertambah malas aku ingin ambil tahu dengan sikap ibu.

“Diniah, jumpa saya di bilik saya sekarang!”. Tegas suara Ustazah Hayati, guru kelasku memberi arahan. Semua pelajar memandang aku, terasa bahang di pipiku. Malu namaku di sebut. Lemah langkah ku keluar dari kelas menuju ke bilik guru. “Apa lagi ustazah nak, ada saja salah aku di matanya”. Aku merungut tidak puas hati.

“Assalamualaikum ustazah, boleh saya masuk?”. Soalku.

Waalaikumusalam, masuk Diniah, duduk”. Arah Ustazah Hayati. Dari raut wajahnya kelihatan tenang tidak seperti tadi. Aku memandang dengan penuh tanda tanya. Ustazah menghela nafas panjang, seakan-akan ingin beritahu aku sesuatu.

“Diniah, enti ada masalah?” Tanya Ustazah Hayati lembut.

Aku menggeleng laju.

“Enti boleh tipu ustazah tapi tidak boleh tipu diri sendiri”. Balas ustazah seakan mengujiku.
Ustazah menyambung bicara, “Dari dulu saya perhatikan enti, makin hari perangai enti makin menjadi-jadi. Pasti sedih ibu ayah enti kalau tengok sikap enti macam ini. Apa enti tak suka menghafaz Al-Quran?” Tanya Ustazah Hayati sekali lagi.

Dan sekali lagi aku menggeleng laju. Ustazah merapatiku, “Diniah, sekali lagi ustazah tanya, enti ada masalah? Kalau ada kongsikan pada ustazah”. Pujuk ustazah lembut.

“Ustazah tak akan faham saya! Ustazah tiada hak nak tahu masalah saya!” marahku.
Pantas aku bangun dan lari keluar daripada bilik guru. Aku berlari menuju ke tandas, aku mengurung diriku, menangis sepuas hati. Entah mengapa aku jadi marah apabila Ustazah Hayati menyebut “pasti sedih ibu ayah enti kalau tengok sikap enti macam ini”. Aku bertambah sebak pabila terkenangkan arwah ayah. Bila mengenangkan sikap ibu, makin menjadikan aku berasa sangat tertekan. Aku menangis sepuas-puasnya. Hampir beberapa jam aku mengurungkan diri di dalam tandas, tiba-tiba dua orang pelajar banat tingkatan tiga masuk ke tandas.

“Enti, ana sedih bila dengar khabar Ustazah Hayati tiba-tiba pengsan tadi”. Luah Asifa.

“Ana pun terkejut juga, kita tidak pernah tahu ustazah ada penyakit seteruk itu”. Sambung Tasnim.

Aku mencuri-curi mendengar perbualan mereka. Ustazah Hayati pengsan? Penyakit teruk? Kenapa dengan ustazah? Pelbagai soalan timbul di kepalaku. Terbit rasa serba salah menengking beliau sebentar tadi. Aku melangkah keluar dari tandas. Melihat jam di tangan. Hampir tamat waktu kelas. Aku segera melangkah ke musolla, moga tiada yang perasan aku ponteng kelas hari ini. Tiba-tiba,

“Diniah, tunggu”. Jerit Yusriyah. Aku berpaling ke belakang. “Ada apa Yus?”

“Tadi Ustazah Hayati ada tinggalkan surat untuk enti, ustazah suruh ana sampaikan, ini dia”. Hulur Yusriyah dengan senyuman di bibirnya.

“Surat apa ini?” Soalku kebingungan.

“Ana tidak tahu Diniah, ustazah yang suruh ana sampaikan. Nanti enti bacalah. Jom ke musolla nanti lambat”. Lembut bicara Yusriyah.

Aku mendengus. Benci dengan permainan teka-teki. Aku simpan surat itu ke dalam poket jubahku. Segera aku tunaikan solat zohor dan makan tengahari. Hari ini aku ditemani oleh Yusriyah. Dialah satu-satunya sahabat sekelasku yang sudi berkawan denganku. Sikap aku yang suka menyendiri dan selalu berperangai buruk serta selalu di denda ini menyebabkan aku tidak mempunyai kawan sepanjang aku berada di sini. Usai menjamah makanan, aku terus ke asrama untuk menukar pakaian prep sebelum waktu prep petang. Sampai sahaja di asrama, aku duduk sebentar di penjuru katil, segera ku buka surat yang ku terima sebentar tadi.

Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum WBT anakanda Diniah yang disayangi.
Maaf andai warkah yang ditulis ini mengganggu anakanda. Ada beberapa perkara yang perlu ayah jelaskan kepada anakanda agar anakanda mengerti. Anakanda Nur Raniah Diniah, beberapa bulan yang lalu sebelum anakanda ke maahad ini, ayah ada berjumpa dengan Ustazah Hayati. Ayah yang merayu kepada ustazah untuk masukkan anakanda di sini. Pada mulanya, keputusan temuduga anakanda tidak berjaya namun atas kesungguhan ayah dan kesudian Ustazah Hayati, pihak sekolah meluluskannya. Ada amanah yang ayah mahu anakanda tunaikan amanah ini. Umur ayah tidak panjang untuk terus mendidik anakanda menjadi anak yang solehah, menjadi tulang belakang kepada agama. Keadaan ayah yang sangat uzur dan sering tidak sihat. Maafkan ayah kerana tidak ada disisi anakanda. Anakanda masih ingat pada pertanyaan ayah dulu? Anakandaku Diniah, ayah harap anakanda belajarlah mendalami agama dan rebutlah peluang menghafaz Al-Quran. Rawatlah hati dan rohani anakanda sebelum anakanda merawat orang lain. Bukan ayah tidak suka anakanda ingin menjadi doktor, ayah benarkan tapi ayah harap anakanda dapat habiskan menghafaz Quran dahulu. Ini sahaja impian ayah yang ayah minta dari anakanda. Ayah harap anakanda mengerti dengan sebaiknya. Pesanan ayah buat puteri hati ayah, perubahan diri umpama pintu yang terkunci daripada dalam, ia tidak akan dapat dibuka jika tuan punya diri tidak membuka dengan kunci yang ada di tangannya sendiri. Jaga solat, jaga akhlak sayang.
Bila segala perancangan kita tidak menjadi seperti apa yang diharapkan, senyum dan ingatlah kita merancang dengan cita-cita Allah merancang dengan cinta.

Kalam dari ayahmu.


Segera aku beristighfar kembali. Siapalah aku untuk menghukum ketetapan Yang Esa. Kini kenangan itu sudah hampir 5 tahun berlalu pergi. Satu-persatu memori lampau aku, memberi ruang untuk aku muhasabah diri. Ku simpan kembali surat arwah ayah, ku beralih pada surat tawaran sambung belajar ke Mesir dalam bidang perubatan.

“Ayah, kakak dapat sambung medic kat Mesir. Kakak dah tunaikan harapan ayah. Alhamdulillah semalam kakak baru selesai syahadah. Kakak dah hafaz 30 juzuk ayah, ibu pun dah banyak berubah sejak kemalangan yang hampir meragut nyawanya 2 tahun lalu. Alhamdulillah”. bisik ku dalam hati.


Merenung aku ke dada langit mengharapkan segenggam kekuatan dariNya. aku merintih, aku merayu, berdoa padaNya yang Hakiki. Pandangan ku kabur tatkala butiran jernih itu hadir menutupi kedua-dua kornea mata ini. Ya Allah, pada siapa ingin ku meminta selain dari Engkau, Ya Allah, tuhan sekalian makhluk. Berikan aku kekuatan dalam mengharungi dugaan ini Ya Allah. Berikan aku secebis ketabahan dan kesabaran agar terus teguh walau dipukul badai, terus gah berdiri walau ribut melanda, agar terus mampu bertahan walau setajam mana duri menusuk. Sungguh, aku hambaMu yang lemah Ya Allah. Kami tak mampu hadapi semua ni tanpaMu, tanpa pertolonganMu, tanpa kasihMu Ya Allah. Terima kasih Ya Allah memberi peluang untuk aku memperbaiki diri. Moga aku dapat menjaga kalamMu dengan sebaiknya. Jadikanlah aku hambaMu yang taat dengan perintahMu, jadikanlah aku anak yang solehah penyeri buat ibu dan ayahku, didiklah aku untuk kekal istiqamah di jalanMu. Terima kasih ya Rabb dengan nikmat ini. Moga aku benar-benar memberikan cahaya mempersona untuk agamaMu sesuai dengan namaku ini. Amin.

“Ayah, kakak rindu dengan ayah. Kakak menyesal dengan kelalaian kakak selama ini. Maafkan kakak, ayah !”.


Nukilan Istimewa,
Fathirah Aris,
26 Disember 2013,
Baiti Jannati.

Alhamdulillah hari ni dah bejaya hantar karya kreatif untuk madah penulisan dakwah. Berapa kali entah di edit-edit hehe. Bila dah hantar lega giler.. Moga dapat markah penuh hehe

So, apa komen untuk cerpen ni? Boleh dapat berrapa bintang? hehe
Doakan ye !
^_^

No comments:

Post a Comment